Sunday, 6 November 2011

Kelas Mengaji

Dulu... waktu saya kecil-kecil saya mula membaca Al-Quran seawal usia 8 tahun iaitu darjah 2. Waktu tu dah mula boleh baca Al-Quran dan yang bestnya waktu tu saya siap boleh mengajarkan rakan-rakan sebaya saya atas kepercayaan seorang ustaz saya pada ketika itu.

Apabila saya meningkat remaja, saya memang minat berguru. Jiwa saya minat begitu dan merasai kehausan ilmu. Usia remaja dihabiskan dengan mencari guru Al-Quran di masjid di surau dan sebagainya. Di mana ada kuliah Al-Quran maka di situlah saya akan duduk mendengar dan belajar. Mengapa saya ke situ? Kerana saya sedar diri yang saya tidak pandai dan perlu belajar untuk meningkatkan ilmu pada masa depan. Pada waktu itu, saya belajar secara percuma kerana saya mencari guru di masjid dan surau yang mana pihak masjid dan surau telah memberikan bayaran kepada ustaz dan imam yang mengajar yang mana objektifnya adalah untuk memberikan ilmu kepada masyarakat.

Sekarang... saya melihat ramai orang yang buat pendapatan dengan cara mengajar Al-Quran ke rumah. Namun, bagi saya secara peribadi pada masa sekarang pendekatan tersebut memang bersesuaian dengan keadaan masyarakat sekarang. Sebenarnya, guru yang mengajar Al-Quran ke rumah itu bukannya mengambil bayaran ke atas ilmu yang diberi, kerana ilmu itu adalah hak Allah dan tidak ternilai maharnya.

Justeru, bayaran yang dibayar adalah untuk perkhidmatan kepada guru yang mengajar atas masa, tenaga serta kesediaan yang tinggi yang dicurahkan untuk mengajar. Kadang-kadang juga saya melihat masyarakat pada masa kini agak berkira untuk membayar kepada para ustaz atau guru yang mengajar Al-Quran.

Mari kita buat perbandingan, jika kita lihat perkhidmatan tuisyen di negara ini yang mana 1 subjek yang diambil oleh pelajar yang kadangkala harganya boleh mencecah sehingga RM40 sejam. Namun, disebabkan ilmu itu "dirasakan" sangat bernilai oleh para ibu bapa kerana ia akan digunakan untuk menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM, dan STPM maka mereka sanggup membayarnya.

Namun, ilmu Al-Quran ini pula akan digunakan selama hayat dikandung badan. Ini bermakna bukankah sepatutnya ustaz dan ustazah yang mengajarkan ilmu ini juga sepatutnya layak mendapat bayaran sedemikian. Bahkan lebih lagi. Ya betul... Al-Quran bukanlah barang perdagangan tetapi bayaran kepada para ustaz dan ustazah ini bukanlah tanda mereka menjual Al-Quran tetapi sumbangan mereka di atas perkhidmatan mereka mengajarkan Al-Quran itu kepada orang ramai.

Jika kita perhalusi semula, tentu kita akan merasai bahawa kerana adanya guru-guru Quran inilah maka masyarakat kita akan menjadi lebih baik dan berakhlak. Ilmu Al-Quran ini sangat mulia maka mulialah juga orang yang belajar dan mengajarkannya.

No comments:

Post a Comment